Wednesday, March 7, 2018

Zahid perlu bersedia angkat sumpah sebagai PM ke-7, kata Mahfuz

Zahid perlu bersedia angkat sumpah sebagai PM ke-7, kata Mahfuz
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Zahid Hamidi perlu bersedia untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri (PM) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya semalam.

Kata Mahfuz, berikutan penahanan kapal milik Jho Low oleh pihak berkuasa Indonesia bersama Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) beberapa kemungkinan boleh berlaku.

“Adakah ianya membawa maksud selepas ini FBI dan Jabatan Keadilan AS (DOJ) akan memohon perintah Mahkamah Malaysia untuk menyita cincin serta rantai berlian isteri MO1 sepertimana tindakan mereka di Mahkamah Indonesia dalam kes menyita kapal ‘super mewah’ Equanimity milik Jho Low?

“Adakah DOJ dan FBI Amerika akan bertindak memohon ‘red flag’ Interpol bagi menahan dan menangkap Jho Low, Riza Aziz, isteri MO1 dan juga MO1?” soal beliau.

Kata beliau, tumpuan kini terarah kepada pihak berkuasa Malaysia apabila pihak berkuasa Malaysia dilihat berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan sejak sekian lama pendedahan dan pembongkaran hasil tindakan yang diambil oleh DOJ dan negara luar atas isu mega berkaitan 1MDB.

Betapa hina maruah negara diperlekeh hingga menampakkan hilangnya kedaulatan undang-undang dan institusi kehakiman Malaysia, katanya.

Negara luar jelasnya, seperti Amerika yang berusaha bersungguh-sungguh melalui saluran undang-undang menyelamatkan negara dan rakyat Malaysia daripada penjenayah kleptokrat terbesar dunia serta kuncunya daripada terus berkuasa.

“Pakatan Harapan (PH) mesti bersedia kemungkinan menghadapi PRU14 akan datang tanpa adanya MO1 dan Umno-BN harus menjelaskan kepada rakyat mengapa selama ini mereka melindungi kleptokrat terbesar di dunia sehingga berlaku kerosakan besar pada imej Malaysia serta memberi kesan sangat buruk yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

“Ketua-ketua institusi penguatkuasaan seperti PDRM, SPRM, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara mesti tampil menjelaskan kenapa mereka tidak bertindak demi menyelamatkan maruah negara* sebaliknya melindungi dan membentengi penyangak klaptokrat untuk terus kekal berkuasa,” tambah beliau.

Katanya lagi, beliau percaya akan berlaku desakan dalaman Umno-BN untuk Najib Razak melepaskan jawatan PM sebelum ditahan dengan tujuan untuk menyelamatkan Umno-BN dan ini sudah tentu tiada pilihan melainkan rakan beliau Dr Ahmad Zahid Hamidi mengangkat sumpah sebagai PM sebelum PRU14.

“Tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi saya ucapkan kerana tidak lama lagi beliau akan mengangkat sumpah sebagai PM ke-7 Malaysia sebelum PRU14.

“Sudah pasti beliau tidak lama sebagai PM, hanya sekadar cukup untuk resumenya kerana rakyat kini sudah pasti tidak akan memilih parti Umno-BN yang telah mengalami kerosakan yang amat teruk luka parah dan tiada lagi ubat bagi menyembuhnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...