Monday, March 19, 2018

Hutang Kerajaan NAJIB/BN : Membimbangkan atau Tidak?

PROF DR MOHD NAZARI ISMAIL

Hutang Kerajaan: Membimbangkan atau Tidak?
ULASAN: Di sebalik keterujaan pihak-pihak yang terlibat membuat persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, pelbagai isu telah dibangkitkan dan diketengahkan ke dalam masyarakat sebagai bahan kempen.

Salah satu isu yang membuatkan ramai daripada kalangan rakyat keliru ialah isu `Hutang kerajaan’.

Ini kerana pihak pembangkang sering menyatakan bahawa jumlah hutang kerajaan yang berjumlah RM685.1 billion pada bulan Jun 2017 adalah sangat tinggi dan mencerminkan keadaan kewangan kerajaan yang tenat.

Tambahan pula jumlah hutang tersebut tidak mengambil kira hutang badan-badan yang berkait dengan kerajaan yang dijamin olehnya yang dilaporkan berjumlah RM217.37 billion.

Pihak kerajaan pula menyatakan bahawa jumlah hutangnya, walaupun menghampiri RM700 billion namun ia adalah hanya 50.9 peratus berbanding saiz ekonomi negara (yang diukur dengan melihat angka Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK).

Kerajaan menyatakan kadar ini adalah sebenarnya rendah kerana kebanyakan negara lain mempunyai tahap hutang yang jauh lebih tinggi seperti Jepun (240 peratus), Amerika Syarikat (105.4 peratus), Singapura (112 peratus), United Kingdom (89.3 peratus) dan Kanada (92.3 peratus).

Sebenarnya perbandingan langsung seperti di atas tidak membantu kita untuk memahami keadaan kewangan kerajaan. Jika dilihat tahap hutang beberapa negara Afrika yang pernah mengalami keadaan kewangan yang tenat dan tidak mampu menjelaskan hutang, tahap hutang mereka berbanding KDNK adalah jauh lebih rendah berbanding Malaysia. Contohnya seperti negara Chad (24 peratus), dan Rwanda (37 peratus).

Namun demikian, adakah keadaan kewangan negara-negara tersebut boleh dikatakan kukuh? Sudah tentu tidak sama sekali. Tahap yang rendah itu sebenarnya adalah kerana pasaran kewangan tidak mempunyai keyakinan untuk memberi pinjaman kepada mereka kerana sangsi akan kemampuan mereka untuk membayar hutang di masa akan datang.

Oleh yang demikian, kita perlu menggunakan beberapa kaedah lain untuk menilai keadaan kewangan kerajaan. Salah satu kaedah alternatif ialah dengan melihat kepada penarafan bon (iaitu satu bentuk instrumen hutang) kerajaan.

Berdasarkan maklumat terkini agensi penarafan Moody telah memberi penarafan kredit `A3 with stable outlook’ kepada bon kerajaan Malaysia pada tahun 2016. Dalam erti kata yang lain, agensi penarafan Moody merasakan bahawa keadaan kewangan kerajaan Malaysia adalah stabil dan tidak membimbangkan.

Satu lagi cara ialah dengan melihat kepada kajian berkenaan `Default Risk’ iaitu kemungkinan negara yang meminjam tidak dapat menjelaskan hutang mereka. Satu sumber maklumat berkenaan perkara tersebut menyatakan bahawa `Default Risk’ bagi negara Greece (yang terkenal dengan masalah kewangannya) ialah 10.38 peratus. Sementara bagi negara Qatar yang kaya dengan sumber gas asli, `Default Risk’nya amat rendah iaitu hanya 0.70 peratus. Bagi Malaysia pula angka `Default Risk’ ialah 1.38 peratus, iaitu suatu kadar yang juga agak rendah.

Mungkin ada yang akan berasa pelik mengapa `default risk’ bagi Malaysia adalah rendah sedangkan jumlah mutlak hutang kerajaan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun? Hutang kerajaan Malaysia pada tahun 1970an adalah kurang daripada RM5 billion. Tetapi kini ia telah meningkat menjadi hampir RM700 billion dan diramalkan akan berjumlah RM1 ribu billion (atau RM1 trillion) pada tahun 2020.

Jadi mengapakah pasaran kewangan atau pembekal dana hutang masih merasakan bahawa kadar risiko bagi Malaysia adalah rendah? Salah satu faktor penting ialah sistem kutipan cukai yang kemas dan berkesan yang diamalkan di Malaysia terutama sekali kaedah GST yang kini sedang dilaksanakan. Pembekal dana hutang merasakan bahawa rakyat Malaysia masih sanggup bekerja keras dan masih sanggup membayar cukai termasuk GST dan oleh itu mereka yakin bahawa kerajaan Malaysia akan masih mampu untuk menjelaskan hutangnya dalam masa akan datang.

Sebenarnya inilah juga punca utama mengapa hutang kerajaan negara-negara membangun yang lain seperti Singapura dan Jepun adalah sangat tinggi iaitu kerana rakyat mereka juga sanggup bekerja keras dan membayar cukai kepada kerajaan dengan penuh kepatuhan. Contohnya di United Kingdom, kadar VAT (suatu sistem percukaian yang lebih kurang seperti GST) adalah 20 peratus, di Amerika Syarikat ialah 11 peratus, Jepun ialah 9 peratus (akan naik ke 10 peratus pada tahun 2019), Singapura ialah 7 peratus (akan naik ke 9 peratus) dan Sweden (25 peratus).

Oleh itu, tidak hairanlah mengapa ramai daripada kalangan rakyat di negara-negara maju juga berasa tertekan dengan masalah kos sara hidup yang tinggi walaupun pendapatan mereka juga tinggi. Sebenarnya beberapa kesan sampingan yang negatif juga telah timbul akibat dari situasi ini.

Antara lain ramai daripada kalangan rakyat mereka memilih untuk mempunyai keluarga yang bersaiz kecil atau tidak ada anak langsung. Sebagai contoh, pada tahun 2017 di Singapura, purata kadar kelahiran untuk setiap wanita (dipanggil kadar fertiliti) adalah hanya 0.83 anak.

Angka ini bukan sahaja jauh lebih rendah berbanding Malaysia bahkan juga tidak mencukupi untuk memastikan kelangsungan sesebuah masyarakat kerana ramai pakar kajian populasi menyatakan bahawa kadar minima yang diperlukan ialah 2.1.

Apa yang membimbangkan ialah sebenarnya kadar di Malaysia juga sudah jatuh dengan mendadak kerana kita semua tahu bahawa pada masa yang lepas, ramai wanita Malaysia yang mempunyai jumlah anak yang ramai. Laporan terkini (statistik bagi tahun 2016) menunjukan bahawa kadarnya sudah pun jatuh menjadi hanya 1.9 sahaja iaitu di bawah tahap minima. Jelaslah bahawa kos sara hidup di Malaysia kini semakin menekan akibat daripada sistem kewangan negara yang membuatkan isi rumah, organisasi dan juga kerajaan semakin terjerat dalam perangkap hutang.

Sebagai rumusan, keadaan hutang kerajaan Malaysia sekarang adalah sebenarnya membimbangkan walaupun pembekal dana hutang atau sistem perbankan masih yakin untuk memberi hutang kepada kerajaan.

Lagipun keyakinan ini adalah semata-mata berdasarkan kesanggupan rakyat untuk terus bekerja dengan lebih rajin dan gigih lagi, bukan sahaja untuk menyara kehidupan sendiri bahkan juga untuk membayar cukai kepada kerajaan yang akan digunakan untuk menjelaskan hutang-hutang negara sedia ada dan yang akan datang.

Satu lagi rumusan penting ialah jika keadaan perbelanjaan kerajaan tidak berubah (yakni tidak dapat dikurangkan) dan masalah ketirisan serta pembaziran tidak dapat diatasi, maka kemungkinan besar kadar GST kita juga akan terpaksa dinaikkan kepada tahap yang lebih tinggi dan membebankan.

Akhir sekali kita juga jangan lupa bahawa daripada kaca mata Islam, sebarang bentuk amalan hutang yang menghasilkan keuntungan kepada pembekal dana hutang adalah bertentangan dengan Shariah.

Bayaran interest atau bunga adalah haram hukumnya. Namun hakikatnya sekarang ini akibat daripada jumlah hutang yang menghampiri RM700 billion bermakna kerajaan Malaysia membayar bunga atau interest kepada pemberi hutang sebanyak hampir RM30 billion setahun. Di pihak isi rumah pula jumlah hutang adalah sudahpun melebihi RM1 trillion dan ini bermakna jumlah keuntungan atau interest kepada pihak bank adalah melebihi RM50 billion setahun.

Oleh itu, cara kerajaan dan rakyat berhutang sekarang bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, bahkan juga menjadi penyumbang utama kepada masalah kenaikan kos sara hidup kerana sistem kewangan yang memberi hutang itu juga pada masa yang sama mencipta wang yang banyak.

Inilah punca utama kepada inflasi dan oleh sebab itulah masalah kos sara hidup ini juga wujud di negara-negara lain yang dikatakan maju dan bebas daripada masalah korupsi dan ketirisan. Jelaslah bahawa negara kita bukan sahaja memerlukan sebuah kerajaan yang mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah dan bebas daripada amalan korupsi, bahkan juga perlu kepada sistem kewangan Islam yang sebenar, yang bebas daripada cengkaman industri hutang.

*Penulis adalah Ketua Biro Penyelidikan IKRAM dan AJK Movement for Monetary Justice (MMJ)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...