Tuesday, May 22, 2018

Kes 1MDB bukan rekaan, kata KP SPRM


BERNAMAM

Kes 1MDB bukan rekaan, kata KP SPRM
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, (gambar kiri) berkata, kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6bilion bukan cerita rekaan semata-mata tetapi adalah satu kes besar sepanjang mengendalikannya, kata .

Menceritakan pengalaman siasatan kes itu semula, Mohd Shukri berkata beliau hampir mati dan ia merupakan satu pengalaman yang menakutkan sepanjang mengendalikan kes tersebut bersama bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Mohd Shukri berkata ketika mengendalikan kes itu, beliau telah diugut untuk dipecat, bersara awal, dipindahkan ke unit lain iaitu bahagian latihan serta menerima ugutan peluru yang dihantar ke rumahnya.

“Saya dan Abu Kassim memulakan siasatan kes SRC International pada bulan Julai 2015 apabila beliau minta saya buka fail dan siasat akaun milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan RM42 juta.


“Kami menerima tekanan yang cukup hebat iaitu ketika menyiasat kes ini, saksi-saksi kami dilarikan malah saksi yang kami panggil untuk mengambil keterangan telah dirampas oleh pihak berkuasa yang lain untuk ditanya apakah maklumat yang diberikan kepada SPRM,” katanya dalam sidang media khas SPRM di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata ketika siasatan 1MDB berada di fasa akhir siasatan kes, beliau telah bertemu dengan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail di pejabatnya, sehari sebelum Abdul Gani dipecat daripada jawatannya.

“Kami berjumpa dan membincangkan kes ini dan Abdul Gani berkata kepada saya “adakah anda bersedia untuk berdepan hukuman?,” katanya.

Mohd Shukri berkata apabila beliau mendapat perkhabaran mengenai pemecatan Abdul Gani keesokannya, beliau turut mendapat maklumat bahawa beliau akan ditangkap atas pertuduhan melakukan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan.

Katanya pada 31 Mei 2015 beliau berlepas ke Washington bagi mendapatkan perlindungan bagaimanapun memaklumkan kononnya beliau akan ke Arab Saudi.

“Saya ubah haluan dan ditularkan yang (kononnya) saya akan ke Arab Saudi menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran merah kepada saya di Jeddah dan dimaklumkan saya akan ditangkap di sana.

“Di Washington pula ada orang ikut saya, pasukan saya ambil gambar dan hantarkan pada saya kemudian saya hantarkan kepada bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan memaklumkan untuk cari pegawai yang lebih bijak untuk ikut saya…Bukan dia ikut saya tetapi saya ikut dia,” katanya.

Mohd Shukri berkata dalam hal ini, beliau tidak membuat sebarang laporan walaupun beliau diugut dan diekori, sebaliknya hanya memaklumkan perkara ini kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki.

Beliau yang merasakan tidak selamat berada di Washingston lalu bergegas ke New York menaiki kereta api dan setibanya di New York telah menemui rakannya yang berada di Jabatan Polis New York (NYPD) bagi mendapatkan perlindungan serta dibekalkan dengan tiga orang pengawal.

“Tidak lama kemudian, saya menerima perkhabaran bahawa anak buah saya ditangkap dan terdapat pertukaran pegawai kanan SPRM ke Jabatan Perdana Menteri, saya berasa serba salah serta tidak dapat menahan sebak lalu menangis mengenangkan nasib mereka,” kata Mohd Shukri.

Mohd Shukri berkata beliau dan Abu Kassim berjuang untuk negara dan mahu mendapatkan semula duit rakyat Malaysia tetapi kedua-dua mereka dituduh sebagai pembelot.

Berikutan itu, beliau terus menghantar pesanan ringkas melalui WhatsApp kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Paul Low Seng Kuan meminta mereka mengembalikan semula pegawainya ke SPRM.

Selepas itu, Mohd Shukri dan Abu Kasim berjumpa dengan beberapa orang menteri untuk meyakinkan mereka bahawa kedua-dua kes berkenaan adalah benar.

Mohd Shukri berkata walaupun diberi jaminan oleh Shahidan melalui mesej bahawa pegawainya akan dikembalikan dan dilepaskan, namun beliau tidak mempercayai janji menteri berkenaan.

Mohd Shukri membalas mesej itu, “Saya tidak percayakan janji anda, janji politik, I nak you buat segera, jika tidak saya akan kembali dan menggunakan kuasa saya untuk menahan pegawai yang mengeluarkan surat pertukaran kepada pegawai-pegawai”.

Mohd Shukri berkata beliau tahu kesannya amat besar jika beliau berbuat demikian tetapi semua itu dilupakan kerana tindakan itu dibuat demi negara.

Mohd Shukri berkata sekembalinya beliau ke Malaysia, beliau berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan beliau bersetuju untuk mengembalikan pegawai-pegawainya.

Mohd Shukri berkata usaha untuk mendedahkan kes ini tidak terhenti walaupun menerima ugutan demi ugutan malah beliau dan Abu Kassim berpecah untuk berjumpa dengan beberapa menteri bagi meyakinkan mereka bahawa RM42 juta dan RM2.6 bilion adalah kes yang benar.

“Jika sayangkan negara gantikan Najib dengan orang lain, namun hanya tiga menteri yang berani mendedahkan perkara itu,” katanya.

Mohd Shukri berkata pada peringkat akhir perkhidmatannya di SPRM pada 2016 beliau ada mendengar desas-desus mengenai pelantikan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan SPRM.

Beliau berkata pada ketika itu, Abu Kassim tiada pilihan dan terpaksa mengundurkan diri dan terdapat cadangan timbalannya, Datuk Seri Mustafar Ali menggantikan tempatnya namun ditolak.

Mohd Shukri berkata Dzulkifli, yang kemudiannya dilantik menerajui SPRM sepatutnya membuat kajian menjadikan kes 1MDB lebih kuat (untuk pendakwaan) dan bukannya melindungi pesalah.

“Ini merupakan satu pengkhianatan yang besar dan saya tidak akan bekerja di bawah pengkhianat. Jadi saya mohon untuk berhenti awal dan saya hanya ambil kursus Bahasa Arab sebagai alasan untuk keluar daripada SPRM, ” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...